15 Soalan Lazim Sebelum Membuat Janji Temu untuk Terapi

15 soalan lazim sebelum membuat janji temu untuk terapi.

Pernahkah anda terfikir untuk berjumpa ahli psikologi, tetapi masih tertanya-tanya sama ada terapi sesuai untuk anda?

Mungkin anda sudah terfikir untuk membuat janji temu, tetapi belum tahu apa yang akan berlaku semasa sesi pertama atau selepasnya.

Berikut ialah 15 soalan yang sering ditanya sebelum seseorang memulakan psikoterapi.

Soalan dalam panduan ini

  1. Apa itu psikoterapi dan bagaimana ia boleh membantu saya?
  2. Apakah yang berlaku semasa psikoterapi?
  3. Bilakah saya boleh mempertimbangkan psikoterapi?
  4. Berapa sesi yang biasanya diperlukan?
  5. Adakah saya akan berjumpa doktor di pusat ini?
  6. Bagaimanakah ahli psikologi klinikal boleh membantu saya?
  7. Adakah pusat ini membantu klien yang mengalami kemurungan atau keresahan?
  8. Berapakah yurannya?
  9. Adakah sesi dijalankan secara bersemuka atau dalam talian?
  10. Adakah saya memerlukan ubat?
  11. Bolehkah seseorang menemani saya?
  12. Bolehkah anak saya yang berumur bawah 18 tahun menjalani terapi?
  13. Siapa yang akan tahu saya menjalani terapi?
  14. Apakah yang perlu saya sediakan sebelum sesi pertama?
  15. Bagaimanakah saya boleh membuat janji temu?

———————————————————————————————————————————-

1. Apa itu psikoterapi dan bagaimana ia boleh membantu saya?

Dalam psikoterapi, anda berbincang dengan ahli psikologi tentang perkara yang mengganggu fikiran atau kehidupan harian anda. Ahli psikologi membantu anda memahami apa yang menyukarkan hidup anda, bagaimana kesukaran itu bermula dan apa yang mungkin menyebabkannya berterusan. Anda juga boleh mempelajari cara untuk menghadapinya.

Dalam sesi, anda belajar mengenali corak pemikiran, emosi dan tingkah laku sendiri. Kemahiran yang dipelajari boleh dicuba sedikit demi sedikit dalam kehidupan harian.

Sebagai contoh, melalui psikoterapi anda boleh:

  • Belajar mengurus emosi yang sukar seperti kesedihan atau keresahan, serta mencari semula ketenangan dan semangat
  • Memahami diri dan menilai semula corak pemikiran yang membuatkan anda semakin tertekan
  • Belajar menyatakan perasaan dan mendengar dengan lebih baik untuk membina hubungan yang lebih sihat
  • Mempelajari cara mengurus tekanan dan memperbaiki rutin tidur supaya kehidupan harian lebih terurus

2. Apakah yang berlaku semasa psikoterapi?

Pada sesi pertama, ahli psikologi akan menjalankan konsultasi awal untuk memahami keadaan anda. Penilaian atau diagnosis akan dibincangkan jika sesuai. Anda dan ahli psikologi biasanya akan:

  • Berbincang tentang kesukaran yang dihadapi sekarang, latar belakang anda dan kesannya kepada kehidupan harian
  • Meneliti gejala dan mempertimbangkan sama ada penilaian lanjut atau diagnosis diperlukan
  • Menetapkan matlamat terapi bersama serta membincangkan pendekatan dan bilangan sesi yang mungkin sesuai

Dalam sesi seterusnya, anda akan mencuba kemahiran atau cara baharu untuk menghadapi kesukaran mengikut matlamat yang telah dipersetujui.

Apabila matlamat dicapai, anda dan ahli psikologi akan mengimbas semula perkara yang telah membantu. Anda juga boleh merancang cara mengenal pasti tanda awal jika kesukaran berulang dan langkah yang boleh diambil untuk menjaga diri.

3. Bilakah saya boleh mempertimbangkan psikoterapi?

Perhatikan jika anda sedang bergelut dengan sesuatu, terutamanya jika ia berlarutan selama dua minggu atau lebih atau mula mengganggu kehidupan harian. Anda juga boleh mendapatkan bantuan lebih awal jika berasa tertekan atau bimbang tentang keselamatan anda.

Sukar tidur, tekanan yang berpanjangan dan masalah hubungan semuanya boleh dibincangkan dengan ahli psikologi. Jika mahu, anda boleh mencuba saringan kesihatan mental kami sebagai langkah awal. Hasil saringan bukan diagnosis. Jika anda memerlukan penjelasan lanjut, bincangkannya dengan ahli psikologi klinikal.

Anda juga boleh datang walaupun tidak menghadapi masalah tertentu. Ada orang menggunakan terapi untuk lebih memahami diri, menjadi pasangan yang lebih peka atau mempelajari cara berkomunikasi dengan anak.

4. Berapa sesi yang biasanya diperlukan?

Setiap orang menghadapi keadaan yang berbeza. Oleh itu, bilangan dan kekerapan sesi bergantung pada keperluan masing-masing.

Sebagai gambaran, sesetengah klien menjalani sekitar empat hingga lapan sesi. Ada yang memerlukan kurang daripada empat sesi, manakala yang lain memerlukan lebih daripada lapan. Ia bergantung pada kesukaran yang dialami, matlamat dan keperluan anda.

Angka ini sekadar panduan. Anda boleh berbincang dengan ahli psikologi tentang kemajuan anda dan memutuskan bersama sama ada mahu meneruskan sesi pada kekerapan yang sama atau mengubahnya.

Satu atau dua sesi belum tentu menghasilkan perubahan yang anda harapkan. Kebiasaannya, perubahan mengambil masa dan latihan berterusan antara sesi membantu anda menggunakan kemahiran tersebut apabila diperlukan.

5. Adakah saya akan berjumpa doktor di pusat ini?

Istilah “doktor psikologi” kadangkala digunakan dalam perbualan harian. Namun, profesional yang membantu dalam bidang kesihatan mental mempunyai latihan dan peranan yang berbeza.

Antara profesional yang mungkin anda temui ialah:

  • Kaunselor
  • Ahli psikologi klinikal
  • Pakar psikiatri, iaitu doktor pakar dalam bidang kesihatan mental

Di MY Psychology, anda akan berjumpa dengan ahli psikologi klinikal. Mereka boleh memberikan konsultasi, menjalankan penilaian dan diagnosis psikologi serta menawarkan psikoterapi. Jika anda ingin tahu sama ada ubat boleh membantu, pakar psikiatri boleh menilai keadaan anda dan menerangkan pilihan rawatan.

Jika anda belum pasti siapa yang sesuai untuk ditemui, baca panduan memilih sokongan kesihatan mental di Malaysia.

6. Bagaimanakah ahli psikologi klinikal boleh membantu saya?

Ahli psikologi klinikal di pusat kami mempunyai latihan pascasiswazah dalam psikologi klinikal. Anda boleh melihat kelayakan, bidang amalan dan keahlian profesional, termasuk keahlian Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP), dalam profil masing-masing.

Latihan klinikal melibatkan pengalaman praktikal di bawah penyeliaan, antaranya menjalankan sesi dengan klien di hospital atau klinik, membincangkan kes dengan penyelia dan menyediakan laporan penilaian. Latihan ini membantu ahli psikologi memahami pelbagai kesukaran yang mungkin dialami oleh klien.

Untuk menyemak keahlian profesional seseorang ahli psikologi klinikal, cari namanya dalam direktori MSCP (bahasa Inggeris).

7. Adakah pusat ini membantu klien yang mengalami kemurungan atau keresahan?

Ya. Kami menyediakan penilaian psikologi, konsultasi dan psikoterapi individu. Antara yang mendapatkan sokongan ini ialah remaja berumur 13 tahun ke atas dan orang dewasa yang mengalami kemurungan, keresahan atau gejala berkaitan.

Anda boleh menghubungi kami untuk berbincang jika mengalami mana-mana kesukaran berikut. Ahli psikologi akan menilai keadaan anda dan membincangkan sokongan yang sesuai.

  • Kemurungan
  • Keresahan, gangguan panik atau keresahan sosial
  • Insomnia atau kesukaran tidur
  • Gangguan obsesif kompulsif (OCD) dan kesukaran berkaitan
  • Kesukaran mengurus emosi
  • Masalah hubungan atau komunikasi dengan orang lain
  • Harga diri atau keyakinan diri yang rendah
  • Kesukaran selepas trauma atau peristiwa yang sangat menekan
  • Gangguan pemakanan atau kebimbangan berkaitan pemakanan
  • Masalah kesihatan mental yang lain

8. Berapakah yurannya?

Yuran bergantung pada jenis perkhidmatan dan pengalaman ahli psikologi. Lihat halaman yuran semasa untuk menyemak kadar konsultasi awal, sesi susulan dan pakej.

9. Adakah sesi dijalankan secara bersemuka atau dalam talian?

Kami menawarkan sesi bersemuka dan psikoterapi melalui panggilan video.

Untuk sesi bersemuka, anda akan bertemu ahli psikologi di pusat kami.

Alamat kami ialah 7-M, Jalan Prima 9, Pusat Niaga Metro Prima, 52100 Kuala Lumpur.

Untuk sesi dalam talian, anda akan bertemu ahli psikologi melalui Google Meet.

Sesi video mungkin kurang sesuai dalam keadaan berikut. Pasukan kami boleh membincangkan penilaian bersemuka atau rujukan yang sesuai:

  • Gejala kesihatan mental yang serius dan memerlukan penilaian atau pemantauan lebih rapi
  • Kemurungan yang teruk, risiko bunuh diri atau risiko mencederakan orang lain
  • Kecemasan atau krisis yang memerlukan bantuan segera. Hubungi 999 atau pergi ke Jabatan Kecemasan hospital terdekat.

10. Adakah saya memerlukan ubat?

Semasa konsultasi pertama, ahli psikologi akan menilai keadaan anda. Jika pemeriksaan untuk rawatan ubat mungkin membantu, ahli psikologi akan berbincang dengan anda dan boleh membantu membuat rujukan kepada pakar psikiatri.

Bagi sesetengah orang yang mengalami gejala sederhana hingga teruk, gabungan psikoterapi dan ubat mungkin sesuai. Pakar psikiatri boleh menilai keperluan ubat dan menerangkan pilihan rawatan kepada anda.

11. Bolehkah seseorang menemani saya?

Walaupun sudah banyak membaca tentang terapi, anda mungkin masih gementar untuk datang buat kali pertama. Kehadiran seseorang yang dipercayai boleh membantu anda berasa lebih tenang.

Anda boleh meminta seseorang menemani anda ke pusat. Jika anda mahu mereka turut berada dalam bilik sesi, maklumkan kepada ahli psikologi supaya anda boleh membincangkan peranan mereka dan privasi anda.

Jika anda yang menemani seseorang, tanya dahulu apa yang mereka perlukan dan sama ada mereka mahu anda menyertai sesi.

12. Bolehkah anak saya yang berumur bawah 18 tahun menjalani terapi?

Boleh. Untuk klien yang belum berumur 18 tahun, pusat kami memerlukan persetujuan termaklum daripada ibu bapa atau penjaga yang sah sebelum terapi bermula. Ahli psikologi akan menerangkan peranan penjaga, cara perkembangan anak dikongsi dan had kerahsiaan.

Kami memahami ibu bapa atau penjaga mahu tahu bagaimana keadaan anak. Biasanya ahli psikologi akan memberi gambaran umum dan membincangkan cara menyokong anak di rumah. Kami juga meminta penjaga menghormati ruang peribadi anak supaya mereka berasa selesa untuk bercakap.

13. Siapa yang akan tahu saya menjalani terapi?

Privasi anda penting. Maklumat tentang kehadiran dan perkara yang anda kongsikan semasa terapi dirahsiakan. Ahli psikologi akan menerangkan bila persetujuan anda diperlukan untuk berkongsi maklumat, serta pengecualian berkaitan keselamatan atau kewajipan undang-undang.

Contoh keadaan yang mungkin memerlukan tindakan perlindungan ialah:

  • Apabila terdapat risiko serius anda akan mencederakan diri sendiri
  • Apabila terdapat ancaman serius terhadap keselamatan orang lain yang boleh dikenal pasti

Jika keselamatan anda terancam, ahli psikologi mungkin perlu menghubungi orang yang anda namakan untuk dihubungi semasa kecemasan atau membantu anda mendapatkan rawatan segera, misalnya di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan.

14. Apakah yang perlu saya sediakan sebelum sesi pertama?

Pada sesi pertama, ahli psikologi ingin memahami perkara yang anda alami dan kesannya kepada kehidupan anda. Jika anda kurang pasti hendak mula dari mana, cuba fikirkan dua perkara ini sebelum datang:

  • Apakah yang ingin anda ceritakan kepada ahli psikologi, dan sejak bila ia mula mengganggu anda?
  • Apakah bantuan atau perubahan yang anda harapkan melalui terapi?

15. Bagaimanakah saya boleh membuat janji temu?

Sesi di pusat kami perlu ditempah terlebih dahulu. Kami tidak menerima kunjungan tanpa janji temu untuk sesi terapi. Isi borang janji temu dan pasukan kami akan menghubungi anda melalui WhatsApp untuk menyemak waktu yang sesuai.

Dalam borang itu, anda akan diminta mengisi butiran untuk pendaftaran serta nama dan nombor telefon seseorang yang boleh dihubungi ketika kecemasan. Butiran ini dikendalikan secara sulit mengikut dasar privasi kami.

Jika anda mahu memahami pilihan mendapatkan bantuan dan kosnya sebelum membuat janji temu, baca panduan memilih sokongan kesihatan mental di Malaysia.

–

Mungkin anda masih teragak-agak untuk mencuba terapi.

Mungkin prosesnya masih terasa asing.

Atau mungkin anda bimbang tentang tanggapan orang lain jika mereka tahu anda berjumpa ahli psikologi.

Ada juga yang berharap kesukaran itu akan reda sendiri apabila masa berlalu.

Terapi boleh membantu anda menghadapi perkara yang sedang menyukarkan hidup.

Anda juga boleh menggunakannya untuk memahami diri dan mempelajari kemahiran yang berguna dalam kehidupan harian.

Kami harap jawapan kepada 15 soalan ini menjelaskan apa yang boleh anda jangkakan.

Anda boleh mengambil masa untuk mempertimbangkan apa yang sesuai bagi anda.

Apabila memerlukan sokongan, terapi ialah salah satu pilihan yang boleh anda pertimbangkan.